31.7.11

Perkara Rawak #038 - Heret Mak Bapak

Aku dah lama dah terfikir akan hal ni. Tapi asyik terlupa nak tulis.

Zaman sekarang ni kita selalu dengar bidasan antagonis dari individu yang cuba mempertahankan hak keperibadian mereka. Contoh senang nak faham, apabila ada orang tegur tentang cara berpakaian. Lagi senang nak faham, kita ambil contoh artis yang selalu ditemubual oleh wartawan-tak-ada-modal di Melodi TV3 jam 12.30 tengahari.


"Awak rasa pakaian awak ni tak menjolok mata ke? Kenapa semakin lama semakin seksi?"

Artis itu jawab, "Saya memang dilahirkan macam ni. Peduli apa saya dengan tanggapan orang. My mum pun tak kisah saya pakai macam ni,"

Aku rasa tak payah lah nak heret mak bapak dalam persoalan yang melibatkan hukum hakam agama ni. Kalau kau tau benda tu salah, kau nak pertahankan, kau guna ayat lain yang lebih bertauliah.Kesian mak bapak kita. Diorang mesti menyesal bila tiba-tiba kau up nama mereka dalam hal-hal salahlaku agama ni.

Kalau mereka tak menyesal sekarang pun, mungkin, satu hari nanti, mungkin.



UPDATE RALAT: Aku baca balik, bahasa aku macam kasar. Sorry lah. Cuma sekarang ni aku peduli sungguh dengan perasaan ibu bapa. Semenjak aku pun seorang ibu. Tak tahu nak terangkan macam mana paranoidnya aku dengan masa depan anak aku. Tapi aku percaya semua pembaca aku bijak pandai orangnya.

Selamat Berpuasa


Dulu aku tak pernah terfikir untuk berkomunikasi (walaupun sehala) dengan orang yang telah lama meninggal dunia melalui saluran eletronik seperti blog, facebook atau twitter misalnya.

Tapi zaman yang serba moden dan canggih yang dikuasai oleh generasi Y rata-ratanya, mengizinkan segala-galanya. Melalui saluran media baru, kita semakin bersikap terbuka untuk membenarkan pembaca yang tidak dikenali tahu apa yang kita bisikkan di dalam hati, apa yang kita doakan, apa yang kita harapkan.

Selamat menyambut Ramadhan, Abah, Atok Misai, Atok Tina, Atok Mak, Atok Cikgu. Semoga beroleh kemenangan di sana. Kami di sini sentiasa mendoakan perjalanan kalian semua.

Aku tiba-tiba jadi rindu melampau bila tengok gambar sambutan ulangtahun ke-3 aku yang kat atas ni. Bersungguh mak abah buat preparation siap panggil satu berek balai.

Zaman kanak-kanak memang indah.

Selamat menyambut Ramadhan semua. Ampunkan segala dosa-dosa aku sepanjang kamu kenal aku di sini.

Atau pun luar dari di sini.

*senyum*

28.7.11

Sayang Sufiah - #004

Hari ini aku perhatikan Razak lain dari seperti 2 minggu sebelum ini. Pergerakkannya lebih cergas. Otot-otot wajah sudah muka berfungsi untuk tersenyum seperti selalu.

Mungkin dia baru peroleh aura baru. Mungking ada mikroorganisma baru bersarang di celah-celah tubuh dia yang paling rumit.

Razak tiba-tiba duduk di depan meja aku. Melempar perlahan timbunan nipis kertas kajang ke arah aku. Kalau biasa berjumpa kerang dipasar, begitulah sinonimnya dapat aku ceritakan tentang mimik wajah Razak sewaktu itu.

"Apo ni?"

"Tengok la sendiri,"


Aku ambil dan teliti deretan tulisan kecil pada kertas-kertas itu. Berkerut kening aku.

Bonan bin Ali
Bonan bin Seman
Bonan a/l Ngubos
Bonan Wandi Bin Juhardi
Bonan....
Bonan...

Ratusan nama Bonan tersusun mengikut senarai.

"Apo ni?" tanya aku lagi.

"Sufiah syak laki dia gay..so..ini lah dia,"

"Ini lah dia apa?"

"Dia mintak tolong aku cek senarai nama Bonan. Sebab sabtu hari tu laki dia kantoi sms rindu rindu dari mamat nama Bonan,"

"Comelnya Sufiah kau tu. Lurus sampai fikir Bonan tu lelaki,"

" tak tau la kalau ada perempuan nama Bonan,"

"Mana lah tau..Bonani ke.."


"Hahaha, macam onani bunyinya," Razak tersengih.

Aku teringin nak tengok Sufiah. Hebatnya seorang perempuan, yang sudah beristeri, beranak dua, sehingga mampu merubah seluruh emosi, rutin dan prinsip seorang lelaki bujang.

*bunyi nada dering SMS*

Razak menatap skrin telefon bimbitnya. Tiba tiba matanya terbeliak.

"Sufiah suruh aku cek hobi si Bonan satu persatu satu. Apa kejadah?"

"Gila menyusahkan perempuan ni!" tapi aku cakap dalam hati je.

"Macam mana nak buat ha?"

Aku tak percaya soalan sehina itu terpacul dari mulut seorang lelaki yang pernah aku pandang tinggi kredebilitinya. Aku betul betuk nak jumpa Sufiah. Kalau tak cantik macam Monica Belucci memang aku terajang zakar Razak sampai mati!




Bersambung...

- Posted using BlogPress from my iPad

26.7.11

Perkara Rawak #037 - Kutuk

Pada suatu hari di sebuah Jabatan bagi sebuah organisasi kerajaan.. Seorang Bos yang agak berpengetahuan dalam selok belok laman sosial media baru ternampak salah seorang anak buahnya mengemaskini status di Twitter.

"Eh Noe awak pun ada twitter! Add la saya,"

"Taknak lah Encik Ahmad, takde privacy,"

"Eleh..Ni mesti takut kantoi kutuk kutuk saya kat twitter la tu,"


*senyap*




- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Jalan Kuching,Kuala Lumpur,Malaysia



23.7.11

Sayang Sufiah - #003

Sufiah tidak tahan lagi.

Pagi tadi sewaktu sewaktu bersenggama dengan suaminya Ramlan, suaminya merengus berbunyi

“Saya sayang awak...... saya sayang awak....”

Padahal selama 9 tahun berkahwin, tak pernah sekali Ramlan panggil Sufiah dengan panggilan ‘Awak’. Ramlan sendiri geli apabila suami isteri berawak-awak. Sudah 9 tahun mereka berkahwin Ramlan hanya panggil Sufiah dengan panggilan nama sahaja. Kadang-kadang Ramlan panggil dia ‘Yah’ sahaja.

Hati Sufiah meruntun-runtun ingin tahu. Pagi tadi dia diamkan sahaja. Masuk tengahari apabila dia lihat Ramlan masih tertidur, dia jadi tidak senang hati. Kalau Sufiah tidak normal, memang mahu sahaja dia tikam Ramlan dengan pisau tumpul. Siksa sikit matinya, fikirnya.

Tiba-tiba Ramlan bangun. Bingkas menuju ke kamar mandi. Tak peduli lansung dengan Sufiah yang duduk di hujung katil. Tidak lansung seperti drama romantik Hollywood yang akan bermesra-mesra selepas melakukan hubungan fizikal.

“Nak pergi mana?”


“Memancing,” jawab Ramlan.


“Dengan siapa?”


“Dengan kawan-kawan biasa la,”


“Siapa?”


“Bonan,”

"Kata kawan-kawan? Bonan seorang sahaja," Sufiah memang skeptikal.


Senyap. Tidak berjawab.


Sufiah menghela nafas. Dia kembali berbaring. Mencapai telefon kepunyaan Ramlan. Nak di selongkar, ada “Enter Passcode” pula. Sufiah menyalahkan teknologi. Merenggangkan dan membuatkan wanita lemah seperti dia bertambah lemah. Tak boleh nak buat apa-apa. Kalau di minta passcode nanti, Ramlan marah pula. Apabila umur sudah meningkat 30-an, malas betul mahu berkrisis akan sebab-sebab remeh.

Tiba-tiba Notis SMS muncul di skrin iPhone Ramlan.

“Rindu lah. Cepat lah datang” – Bonan.

Terbeliak mata Sufiah. Bibir mungil dia ternganga sedikit. Sikit lagi nak sama macam Megan Fox.

“Aduh!” getus hati Sufiah.

Dia bingkas bangun mencapat telefon bimbitnya. Kepada Razak dia hantar pesanan ringkas

“Suami I Gay!”




bersambung..

22.7.11

Kerana aku bukan seorang yang fun lagi buat masa ini


Sorry lah.

Kalau aku asyik-asyik bercerita tentang kerohanian, ketuhanan dan kematian yang pasti. Aku sudah tidak fun lagi bagi sesetengah orang.

Menjadi kompleks dan berfikir tentang sebab, punca dan perkara-perkara yang bakal terjadi. Mengelak dan menjadi sangat skeptikal akan sesuatu perkara yang remeh-remeh. Tentang apa yang aku makan, apa yang aku pakai, apa yang aku hidu, apa yang aku bawa, apa yang aku naungkan.

Kerana aku bukan seorang yang fun lagi buat masa ini.

Kekok dalam cubaan untuk mengadaptasi.

Bersabarlah sayang-sayang semua. Layankan sahaja kebosanan ini.

Setiap anak rantau pasti akan pulang ke paksi.

Tetapi kali ini dengan kutub dan kompas yang berbeza.


- Posted using BlogPress from my iPad


20.7.11

Exora di Penang

Note: ADVERTORIAL


Seperti yang pernah aku ceritakan dalam nukilan aku sebelum ini, sebuah MPV untuk sebuah keluarga adalah satu keperluan demi untuk keselamatan dan keselesaan seisi keluarga. Aku percaya rata-rata dikalangan pembaca aku, mungkin pernah mengalami situasi tidak selesa apabila memandu jauh dengan kenderaan yang sempit.

Baru-baru ini, Proton telah pun mengadakan sesi pandu uji di tiga buah negeri di luar Lembah Klang. Yang paling terkini sekali adalah di Penang. Aku selalu berharap yang aku akan terpilih untuk ke mana-mana sesi pandu uji yang dianjurkan. Tapi apakan daya, rezeki tak ada.

Salah seorang rakan blogger, yang terpilih untuk ke sesi pandu uji tersebut, pulang dan tapau ceritanya yang penuh gaya mentang-mentang dapat sesi spa percuma sekali di sana…


Selain daripada penerangan tentang Proton Exora itu sendiri, Proton juga telah mengaturkan sesi bersama beberapa pakar bagi menerangkan tentang terapi perkahwinan; yang mengulaskan betapa pentingnya kita menjalin kemesraan di dalam hubungan sehari-harian. Bukan itu sahaja, Datin Sharifah Shawati juga turut serta dalam menerangkan pentingnya gaya ketrampilan diri seseorang; dan juga penerangan tentang perancangan ekonomi keluarga.


Selepas itu, peserta diberi peluang untuk menguji tahap keselamatan dan keselesaan Proton Exora itu sendiri dengan memberi peluang kepada mereka untuk memandu uji kenderaan tersebut merentas lebuh raya sel. Kemudian sesi pandu uji ditambah lagi dengan sesi cabaran parkir dengan mata tertutup. Aku difahamkan bahawa ujian ini bertujuan untuk menguji persefahaman dan kepercayaan di antara kamu dan pasangan kamu.

Seterusnya, pada sesi pandu uji tersebut, terdapat juga ujian di mana mereka akan memandu kereta itu pada kadar kelajuan yang tinggi kemudian lakukan emergency break. Tujuan ujian ini dilakukan adalah untuk membuktikan kestabilan Proton Exora apabila menghadapi situasi yang tidak diduga.


Kawan-kawan aku yang sudah memiliki Exora pun cakap yang Exora adalah sebuah pelaburan yang tepat untuk keselamatan, gaya dan keselesaan. Itu belum lagi kalau nak cerita tentang penjimatan yang dapat dinikmati dengan kos penyelengaraan yang berpatutan kalau nak dibanding dengan MPV yang lain.

Pada pendapat aku lah, keselesaan adalah salah satu elemen penting untuk memangkin hubungan baik sesama ahli keluarga. Mana-mana kita pergi pun, apa-apa kita buat pun, kita digalakkan untuk mencari keselesaan di dalamnya. Itu lah yang cuba ditawarkan di dalam sebuah MPV seperti Proton Exora misalnya.

Sebab aku percaya nikmatnya duduk dalam kenderaan luas dengan penghawa dingin sambil boleh main 'gusti-gusti' di dalamnya. Err..

18.7.11

Perkara Rawak #036 - Projek Hari Kebangsaan

Usaha-usaha menukarkan projek bosan kepada satu agenda yang lebih menyeronokkan.


Seronok gayanya. Mengalahkan pemilik gelang RM73 juta.




13.7.11

Perkara Rawak #035 - Projek Angker Pejabat.

Selalu stayback lewat di pejabat?


Dua-dua pengecut. Dua-dua kuat main-main. 


Naluri Yang Semakin Difahami

9 Julai 2011, 1 tahun 5 bulan 20 hari
Sekarang ini (atau mungkin telah berlaku sejak awal-awal Sabrina bernyawa di dalam rahim aku), aku sudah semakin kalah dengan cerita sedih yang aku tonton di televisyen.

Atau babak sedih. Atau babak yang menyentuh naluri keibuan di dalam diri aku.

Baru-baru ini, apabila menonton Karate Kid, babak Dre menjuarai pertandingan Kung Fu, ada babak mak dia menangis, aku pun menangis sekali.


Baru tadi, aku tonton filem Talentime, ada babak Mahesh dipukul ibunya kerana tak balik semalaman, pun aku menangis.


Dulu, zaman masih berkepit di ketiak emak sambil layan Cerekarama, aku selalu ejek mak aku kalau dia menangis bila ada babak-babak sayu yang mungkin menyentuh naluri keibuan dia. Jangan lah nanti Sabrina pulak yang ejek aku. Mesti malu terkepit kepit aku nanti.

Tapi masalahnya, tadi, tengok trailer Harry Potter- Deathly Hallow Part 2 pun aku dah sebak meleleh air mata.

Apa kena mengena?

12.7.11

Hujung Minggu #004 - Tanpa Sabrina

Dah lama sangat tak tengok wayang sebab sibuk berulit dengan Sabrina. Sorry, Nak. Hujung minggu sebelum ini awak tak ikut kami tengok wayang 3D Transformers. 

sedap tak? haha!

membeli belah itu wajibulghunnah.

tak cuba, tak tau.

Bagus. RM18.30 untuk semangkuk kecik yogurt.

Encik encik suami sekalian, lain kali nak potong rambut, ajak lah isteri yang mampu bertindak sebagai imej konsultan. Hehe.

Dinner.

Semoga Hujung Minggu akan datang lebih seronok dan membahagiakan. Amin.







11.7.11

Perkara Rawak #034 - Ganti Puasa

Tahun ini kalau boleh aku nak bayar semua hutang yang aku lakukan semasa zaman jahiliah dulu. Maksud aku, zaman aku yang jahiliah. Kadang-kadang rasa untung juga jadi lelaki. Tak perlu ada sebab yang kritikal untuk kau tinggal puasa. Pun masih ada yang tarik alasan remeh seperti gastrik dan tidak bersahur untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan.

Direkodkan oleh Dr. Adi Hashman; "Belum pernah ada pun dalam rekod dunia perubatan, orang mati kerana berpuasa,"

Tapi aku ada satu kelemahan. Iaitu berpuasa selain dari Bulan Ramadhan.

Secara nyatanya, mungkin, sebab orang sekeliling tidak berpuasa sama. Secara ghaibnya, mungkin, sebab, syaitan tak kena ikat pada bulan selain bulan Ramadhan. Secara telusnya pula, ialah sebab aku sendiri yang mengada-ngada.

Lama juga puasa aku tak ganti. Maka banyaklah fidyah yang aku kena bayar.

Tadi aku hubungi pusat bayaran zakat. Di talian 1300885757, bercakap dengan Huzaifah yang mengajar aku cara nak kira fidyah. Formulanya senang sahaja;

contoh: Tahun Tak ganti puasa 2007 = 7 hari

cara kira: (tahun ini) 2011 - 2007 = 4 tahun

maka: 4 tahun x 7 hari (puasa tinggal) x RM1.8 (harga fidyah semasa)

JUMLAH FIDYAH YANG HARUS DIBAYAR = RM50.40

Senang.

Kalau tahun 2008 pun tak ganti, maka ulang formula yang sama, kemudian jumlah kan bayaran bagi kedua-dua tahun tersebut.

Ramadhan hampir menjelma. Harap-harap akan datang ni gagahlah aku menggantikan hutang-hutang puasa masa lalu. Eh kamu pun sama. Jangan malas ganti puasa. Jangan tangguh ibadah kamu. Sama-sama kita perbaiki diri.

wajah sedih melihat jumlah angka fidyah yang wajib dibayar. Sesal dahulu, pendapatan. 





p/s: Sebarang pertanyaan lanjut tanya terus di 1300885757

10.7.11

Perkara Rawak #034 - Photojurnalism & Street Photography


Aku selalu kagum dengan hasil kerja kebanyakan Jurugambar Jurnalis. Bagi aku mereka ialah jurugambar yang hebat. Dengan suasana yang asing. Subjek yang asing. Tak perlu arahan seni secara lansung. Kebanyakannya spontan dan mengujakan. Tak perlu nak tambah lagi kesan khas di Photoshop secara melampau. Gambar itu sendiri sudah mempunyai kekuatan dan seribu satu macam cerita serta ulasan.

Teringin betul nak ada lensa Nikon 70-200 f2.8.

Dengan adanya lensa yang berupaya memfokuskan foto dari jauh, maka banyaklah aksi-aksi yang menarik yang dapat rakamkan. Skima sungguh ayat aku. Ok abaikan. 


 Nak layan gambar lagi di sini.


Cuma aku pelik akak-akak purdah kat atas ni gagah betul untuk turut serta perarakan Bersih semalam. Mungkin satu hari apabila sudah beranak satu baru dia sedar betapa nikmatnya duduk di rumah berguling dengan anak atas katil pada hujung minggu. Semangat serikandi sungguh.




9.7.11

Perkara Rawak #033 - Dalam Hati Ada Kebun Apple

Antara perkara yang paling dibenci adalah apabila aku dalam perkiraan untuk membeli sesuatu gadjet.

Aku adalah salah seorang peminat gadjet tahap sederhana. Bukan hardcore. Tapi sekadar mengisi nafsu keinginan pada sebuah gaya hidup yang ala-ala futuristik dan serba canggih. Lagipun keminatan aku tidak meluas. Lebih menjurus kepada Apple iOS lah.

Sebelum ini aku nak sangat beli iPhone. Sekali kena racun dengan kecanggihan Samsung Galaxy S2. Memang aku dah pegang Samsung Galaxy S2 ni. Pada pegangan kali pertama, aku kira, kehebatan Samsung Galaxy S2 bukan lah sekadar rumor. Paparan Skrinnya menarik. Cantik. Terang. Kamera tebabo. Video pun cantik.
 
 imej di-google.

Tapi aku berat untuk merendah dan meninggalkan iPhone. Aku dah biasa dengan iOs. dah biasa dengan iPod. Dah biasa dengan kebanyakkan produk Apple.

Aku harap aku dapat peluang kali kedua untuk pegang Samsung Galaxy S2 dalam jangka masa yang panjang sedikit untuk aku betul-betul jelas tentang telefon bimbit apakah yang bakal aku beli satu hari nanti.
----
Cerita lain;

Baru sekejap dalam tengahari tadi, aku buat pembelian iPad2 secara online. Mula-mula aku beli yang wifi dengan 3G. Sebelum sahkan pembelian aku tukar fikiran beli yang dengan wifi sahaja. Selepas 2-3 jam membuat pembelian, aku buat kajian tentang 4G Yes yang dikatakan mahal dan terlalu banyak masalah itu, aku terus ke laman pembelian online Apple dan batalkan pembelian ipad2 dengan wifi sahaja tadi. Terus aku buat semula pembelian baru, iPad2 dengan wifi dan 3G.

Macam kebanyakkan perempuan.

Memang rapuh dalam membuat keputusan.

Apa pun, dalam hati memang sudah tertanam kebun Apple yang sedang masak ranum. Sedang berkira-kira nak tanam lagi sepokok, atau nak bela seekor ternakan bernama Android?

*keluh*

Sementara ini terpaksa bersyukur dengan apa yang ada.


Perkara Rawak #032 - Rasa Macam Tak Cool

Entah sejak bila, aku sudah serba sedikit menjinakkan diri dalam dunia sosial di kalangan blogger dan  yang aku rasa agak komersial di dalam blogosfera mereka sendiri.

Yang pastinya semasa mula-mula bertemu dengan mereka, semasa mula berkenalan, ternyata, aku kenal blog mereka, mereka tak kenal blog aku. Aku rasa mereka terlalu popular. Seperti Ceeramoon, SheilaShower, PinkStilleto dan Virus Padu dan lain-lain lagi lah. Entah kenapa aku rasa segan sangat dengan mereka.

Tapi itu bukan masalah. Aku tak pernah mengimpikan menjadi blogger dikenali ramai pun.

Tapi yang buat aku rasa macam tak cool ialah;


"Apa blog you ek?"

"Aaaaa..pernah dengar tak Perempuan Jomblo?"

"What?"

Okay aku benci bila aku kena ulang,

"Perempuan Jomblo,"

Dan;


"OOoooo..JOMBLO tu apa?" dengan kening kerut-kerut.

Haha sumpah aku rasa tak cool apabila menemui saat-saat janggal seperti itu. Bayangkan dalam satu bulatan wanita yang berdiri dan duduk ala-ala sofistikated menumpukan pandangan ke arah kau yang berair wajah kau sendiri pun tak tahu macam mana.

-------


Bagaimana Perempuan Jomblo mendapat nama?

Dalam kamus bahasa pasar Indonesia Jomblo bermaksud - Single, kesunyian, tidak berteman.

5 tahun dahulu seorang perempuan yang selalu merasakan dirinya kesunyian terperuk di dalam bilik tanpa motif dan tujuan tertentu akhirnya terpengaruh dengan ajakan seorang rakan lelakinya yang bernama Talib atau lebih dikenali sebagai TalibXjoe untuk mengemudi sebuah platform penulisan yang lebih dikenali sebagai; BLOG. Seperti anak gadis muda berpendirian rapuh yang lain, semasa kemasukkan musik dan filem Indo begitu hebat melanda arus peredaran media negara, maka, keinginan untuk memahami bahasa Indo amatlah kuat walaupun wajah tidak seperti Dian Sastro pun.

Maka apabila berjumpa dengan perkataan 'JOMBLO' yang dirasakan sangat relevan dengan keadaan dirinya pada ketika itu padahal ramai je orang sayang.

Jadi, dari situ lah terpetiknya nama Perempuan Jomblo sebagai tetamu dalam dunia penulisan blog kamu ini.

Ramai yang salah anggap maksud Perempuan Jomblo. Si Otak Kuning yang selalu mengimpikan adegan di ranjang, Jomblo bermaksud JombloWJOB.

Aku pernah terfikir nak tukar jadi, Perempuan JomBLOG. (hahaha)

Tapi akhirnya, daripada memikirkan masalah yang tak penting lansung ni, biarlah aku abai dan kekalkan sahaja dengan "Perempuan Jomblo."

Ada ke orang peduli?

6.7.11

Tiba-tiba Terfikir Tentang Masa Depan Antara Aku Dan Keretaku.

NOTE: Advertorial

Aku ingat lagi. 4 tahun sebelum ni.

Mas, Eqa dan Aku pernah berbual ala-ala girl’s talk tentang kereta idaman masing-masing. Selaras dengan perbezaan fizikal dan selera, kami bertiga memang mempunyai impian yang tidak sama. Eqa suka MPV, Mas suka Kereta Kompak (compact car), aku, biasalah, perempuan sofistikated yang idamkan sedan mewah ala-ala Nora Elena.

Tapi betullah, manusia berevolusi.

Selepas melalui fasa hidup yang berbeza, dan kini memiliki sebuah sedan yang tak berapa-Nora-Elena, sedikit sebanyak aku merasakan bahawa aku memerlukan sebuah kereta yang lebih besar dari sekadar Sedan.

Aku dah ada anak seorang.

Dan aku agak rajin ke sana sini dengan keluarga.

Selalunya aku akan angkut segala benda. Bayangkan beg Sabrina sahaja dah ada dua. Beg aku dan Fandi selalunya satu luggage besar, ditambah dengan mak dan anak saudara aku yang selalunya lebih suka travel dengan aku.

Memang tak muat. Kalau muat pun, mesti ada beg atau barang yang aku penyekkan supaya muat di dalam boot kereta. Dan apabila kereta dah padat dengan isi manusia dan beg/barang, Sabrina dah tak ada banyak ruang untuk bergerak.

Jadi, fenomena anak kecil menggelupur, tapi kena grip tak kasi bergerak, memang biasa berlaku dalam kereta sedan-yang-tak-berapa-Nora-Elena aku setiap kali aku travel satu keluarga. Apatah lagi fenomena ‘yang paling kurus duduk ke depan sikit!’. Kalau duduk pun mesti kepit peha macam pengantin bersanding tersipu-sipu.

Bukan itu sahaja. Kalau aku balik kampung sekali pun, kalau nak balik ke Kuala Lumpur semula, mak aku akan bekalkan dengan pelbagai barang yang besar-besar yang memang tak muat nak disumbat di dalam boot kereta.


Belum lagi cerita tentang pengalaman memberi keperluan bulanan di supermarket.

Wagh!

OK, Aku perlukan MPV. Baru anak seorang ni. Kalau dah ada anak 3, masih ber-Sedan lagi, mungkin aku akan jadi malas nak keluar travel ke mana-mana sebab siksa kereta sempit macam sekarang ni. Nak beli sedan mewah yang boleh sumbat 10 orang, macam tinggi sangat angan-angan tu.

Kamu pula bagaimana?

Alang-alang berbual tentang keinginan terhadap MPV ni, elok juga kalau kita survey mana-mana sumber tentangnya.

Kalau aku, Proton Exora jadi pilihan utama. Teringin juga nak pandu uji. Jadi apabila aku ke laman web mereka di http://www.allaboutexora.com/, adalah juga berita baik yang mengatakan Team Proton Exora akan berkunjung ke 3 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Melaka. Berita baik untuk rakyat Kuala Terengganu pada minggu ini adalah *gilirang mung tuk pandu uji Protong Exora ni.


Untung lah orang Terengganu minggu ni boleh pandu uji Exora. Minggu depan Melaka pula. Bila aku pulak nak dapat peluang yang sama? Ehem.



P/s: Aku tak tonton Nora Elena. Sorry Seth Tan.
*Giliran kamu untuk pandu uji Proton Exora ini.

Aku dah letih dengan PTPTN.

Dulu sewaktu mula-mula bekerja, dengan gaji yang sangat sedikit untuk meneruskan hidup selesa, aku gagahkan juga membayar sebulan sebanyak RM50. Pun masih lagi dihujani dengan surat amaran yang datang bulan demi bulan. Gaji aku betul betul sikit. Itu sahaja yang aku mampu, celaka.

Entah bila pula, sekali lagi peminjam PTPTN digemparkan dengan penambahan caj perkhidmatan di dalam hutang yang telah kami lakukan. Dengan selamba menambah caj perkhidmatan tanpa segan silu padahal dalam perjanjian yang aku buat semasa mula-mula dulu, tidak dinyatakan lansung akan kos-kos tambahan itu.

Menjelang tahun kedua bekerja, aku bekukan pembayaran hutang aku dengan PTPTN. Sebabnya aku nak berkahwin. Setiap bulan sampai waktu dapat gaji, aku akan asingkan sekurang-kurangnya RM500 untuk wang kerja kahwin. Sebab aku berkahwin guna duit sendiri. Bukan duit mak bapak.

Setahun aku abaikan PTPTN aku.

Masuk tahun ke tiga aku bekerja, aku sudah pun berkahwin. Dengan kadar kehidupan yang masih terumbang ambing, aku sambung semula membayar hutang PTPTN aku. Banyak sikit dari sebelum ini, RM150. Itu pun apabila aku periksa penyata, RM37 dari RM150 diambil sebagai caj perkhidmatan.

Tahu-tahu sahaja, aku periksa dalam September 2010, aku telah disenarai hitamkan untuk ke luar Negara. Mungkin kerana aku pernah tak bayar selama setahun. Jadi yang setahun sebelum dan setahun selepas punya bayaran mereka tak ambil kira. Biasalah, nila setitik, rosak lah susu sebelanga.

Tapi bila aku duduk berbual dengan rakan-rakan yang bakal bercuti ke luar Negara, yang tak pernah SATU SEN pun membayar PTPTN, dengan bangganya berkata mereka tidak disenarai hitam kan, aku jadi bengang. Bukan bengang dengan kawan lah. Tapi dalam cerita ni, memang aku bengang dengan PTPTN lah.

Pun aku usahakan juga nak keluar dari senarai hitam.

Aku hubungi talian Hotline PTPTN, bertanyakan tentang prosedur.

Aku diberitahu Pejabat PTPTN terdekat dengan aku, letaknya di KLsentral. Buka dari jam 8.30 am sehingga 5 pm.

“Lunch break hari Jumaat bukak tak?”


“Bukak, Cik”

Gagah aku menapak, naik LRT, ke KLsentral, seorang diri, dengan sengugut. Aku nak ikut suami aku bercuti ke Korea – semangat di dalam hati.

Sampai di pintu utama Kaunter PTPTN;

“TUTUP PADA WAKTU REHAT. BUKA SEMULA JAM 2 PETANG”

Kau memang celaka. Semua tentang PTPTN ialah celaka. Takkan orang nak ambil cuti atau lari dari waktu kerja di Pejabat semata-mata nak berurusan dengan kamu semua? Kebanyakkan kaunter bank-bank di Malaysia semuanya beroperasi semasa lunch hour. Apatah lagi KWSP yang cemerlang itu.

------

Kelmarin aku hubungi lagi PTPTN . Kali ini aku nak buat full settlement terus. Aku tak mahu ada apa-apa hubungan dengan PTPTN lagi.

Lalu seperti biasa aku bertanya akan prosedur. Katanya;

“Sila isikan borang dan fax kan kepada kami,”

OK.

"Berapa lama feedback?"


“Paling awal 2 minggu, cik. Selalunya satu bulan,”


“Saya nak bayar terus pun seleceh ini?”


“Ha tu la cik, pihak kami cepat je. Selalunya yang lambat pihak peguam,” kata Cik Operator dalam usaha menjaga nama majikan sendiri.


“Kalau saya bawak je duit dan settle kan terus di kaunter PTPTN macam mana?”


“Tak ada hitam putih. Kalau cik settlekan, nanti ada lagi charge tersembunyi kami akan minta lagi,”


“Apa yang tersembunyi? Dalam statement saya ada lebih kurang RM16k lagi ni. Tak boleh ke nak bayar je apa yang tertera?”


“Oh caj tersembunyi itu seperti kos guaman,” sekali lagi, pihak peguam jadi mangsa.


"Kalau kat statement RM16k, tak semestinya cik kena bayar RM16k,”


“Habis?”

“Cik kena bayar RM17 atau 18k”

Kau memang celaka. Semua tentang PTPTN ialah celaka.

Aku usahakan juga apa cara sekali pun. Aku tak mahu ada apa-apa hubungan dengan PTPTN lagi.

Hatta wang pembiayaan pembelajaran Sabrina pun aku dah siapkan awal-awal sejak dia berusia 5 bulan di alam rahim aku lagi.

Aku memang dah letih dengan PTPTN.

Menyesal pun tak guna.

3.7.11

Doa Yang Dikabulkan

Jarang rasanya aku rasa perasaan yang aku rasa sekarang ni.

Apabila sesuatu yang aku titipkan di dalam doa seharian, kini menjadi kenyataan. Aku tak pernah meminta-minta kepada Allah sesungguh seperti sebelum ini. Dengan tangis. Dengan gigih aku pujuk hati sendiri untuk bersabar dan terus bersabar terhadap dugaan yang hebat ini. Dengan perit, menghadap sehari-hari.

Segala puji bagi Allah.

Kalau fasa yang tadi sengaja Kau turunkan kepada aku untuk aku pelajari 'sesuatu', aku bersyukur kerana aku sudahpun berjaya harunginya setakat ini. Doa yang kau kabulkan kali ini, akan ku pelihara hasilnya sampai ke mati.

Bye-bye, badai.

(hirup kopi panas sambil tersenyum mulut kembung)




Yh

