22.12.16

Kadang-Kadang

Hidup kita;

Kadang-kadang kita terbang. Kadang-kadang kita berjalan. Kadang-kadang kita menyusur. Kadang-kadang kita tak nak buat apa pun. Nak baring terlantar sahaja.

Ada masa kita seronok sangat. Ada masa kita sedih sangat. Ada masa kita boleh beli apa saja kita tengok dari luar cermin kedai. Ada masa kita duk diam sampai makan pun kena catu.

Diri kita;

Kadang-kadang kita rasa iman kita kuat sangat sampai semua benda kita buat pun kerana Allah. Nak buat itu ini didahulu dengan Bismillah. Disadung tak jatuh. Ditunjal tak kalih. Kadang-kadang ada satu masa tu kita lupa langsung ke Dia. Kadang-kadang bila orang buat kita marah, kita mampu letak tepi, taknak fikir dan boleh gelak-gelak. Kadang-kadang orang tak buat kita marah pun, kita rasa nak marah sebab mood turun naik entah kenapa.

Ada saat-saat kita rasa nak jadi baik. Ada juga saat kita rasa jadi baik pun tak guna. Ada saat kita tak peduli buruk baik dah. Kita langgar semua. Ada masa semua benda yang lalu depan kita, kita anggap yang elok-elok sahaja. Ada masa perkara yang tak wujud pun kita rasa macam ada-ada saja. Ada masa kita jadi manusia yang kita tak ingin jadi pun. Ada masa kita tersedar, kita patah balik semula.

Kita tak selalu baik. Tak selalu pula jahat. Sekali berjumpa waktu kita tengah baik, orang akan anggap kita baik. Nasib tak baik kalau orang lain jumpa kita waktu sedang hangin satu badan, sampai bila-bila dia ingat kita sejenis baran. Kadang-kadang kita yang rabun tertinggal cermin mata, berjalan dengan mata kabur. Berselisih senyum, kita tak nampak untuk membalas; selamanya orang kata kita sombong. Kita tahu air terbentuk mengikut bekasnya. Tapi kenapa kita masih fikir bentuk itu akan kekal walau duduknya dalam bekas yang selalu berbeza?

Orang yang tak suka, akan pandang yang buruk sahaja. Orang yang benci, benda baik pun dia pusing jadi buruk juga. Orang yang suka, buruk semua dia tak rasa. Orang yang faham, akan tahu naik turun manusia semua lebih kurang sama. Tapi yang betul betul terima kadang baik kadang buruk kita, hanya yang betul-betul cinta sayangkan kita. 




1 comment :

Manusia Berubah said...

betul semua..!

kadang nak jadi diri sendiri pun risau orang lain tak 'luluskan'

habis.. tak kan asyik nak jadi orang yang orang lain suka je..?

:(


...