28.10.17

Dah besar dah

Setiap pagi aku hantar Sabrina ke sekolah aku takkan lepaskan peluang untuk berbual dengan dia tentang apa sahaja yang dia ingin katakan. Tentang kawan-kawan dia. Tentang cikgu dia. Tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di taska dan teman-teman di taman permainan. Tentang pengalaman selepas bermalam di rumah keluarga yang satu lagi. Apa sahaja. Aku dengarkan saja; anak sulung aku berbicara antara petah dan gagap sebab tak banyak vocab lagi. Sesekali aku tersenyum. Tak ada apa yang lucu. Cuma terlalu manis untuk disenyum-senyum kan.

Aku tahu sabrina takkan pandang aku macam aku pandang dia. Gerak geri dia, suara dia, dengan gigi dia yang dah rongak 3 batang, ketawa kecil dia. Muka bingung dia bila tak tahu nak sampai kan satu cerita menggunakan perkataan yang sesuai. Muka renyuk dia bila aku ejek dia rongak. Semua itu ada tempat tersendiri di dalam hati aku. Terutama sekali pipi dia yang sudah semakin tidak tembam macam dulu-dulu.

Kadang kadang sambil dia bercerita dalam tersekat-sekat bahasa dia tu, aku sempat cuit pipi yang dah tembam itu. Aku tahu, tak lama nanti pipi tembam tu akan surut apabila dia semakin menginjak dewasa. Mungkin kalau Sabrina jenis menjaga makan, pipi tembam itu akan jadi kenangan saja buat aku. Tubuh yang terkuit-kuit mengharap peluk ibu dulu kini sudah hampir 8 tahun berjalan berlari; teriak; bercakap; dan tak terkuit kuit lagi.

Jasad yang dulu merah, buntal, tembam pipinya, yang bagaikan anak burung lapar apabila melihat payudara bersusu ibunya, kini sudah semakin membesar dan akan semakin dewasa meninggalkan ibunya tadi dengan sejuta memori.

Dia lah insan yang mula-mula sekali lahir membawa kunci lalu dibukakan pintu kepada keluasan cinta seorang ibu dalam hati aku.

Dia;

dah besar dah.

:')





3 comments :

amyzlie said...

Rasa yang sama untuk anakanda yg 7 thn ini. :-(

mamanaem said...

samalaaaa..anak sulung nak darjah 1 dah..

Cik Azz said...

Takpe. Gigi tu nanti boleh tumbuh yang baru. :D